USAHA TINGKAT PRESTASI PENDIDIKAN

on .

Usaha tingkat prestasi pendidikan
NURUL HIDAYAH HAMID
6 JUN 2018

 

Dr Salmee (dua, kanan) menyerahkan sumbangan wang untuk pelajar kurang berkemampuan kepada Pengetua Maktab Mahmud Alor Setar,Zaiton Ismail.

ALOR SETAR - Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Majlis Penasihat Pendidikan Kedah dalam tempoh terdekat dalam usaha meningkatkan prestasi pendidikan di negeri ini.

Exco Pendidikan, Dr Salmee Said berkata, hasrat berkenaan selari dengan peringkat pusat supaya pelaksanaan berjalan lebih lancar dan berkesan.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Maktab Mahmud berkata, kira-kira 10 tokoh yang pakar dalam bidang akademik disasarkan menganggotai majlis itu.

“Melalui majlis itu, tokoh berkenaan akan memberi nasihat dan panduan berkaitan isu pendidikan untuk penambahbaikan dan cara meningkatkan prestasi keputusan seperti SPM.

“Kerajaan pusat akan menubuhkan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, jadi sejajar dengan perkara itu kita merancang menubuhkan di peringkat negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Wang Wakaf Khas Lembaga Pengarah Maktab Mahmud kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar dan pelajar kurang berkemampuan di Maktab Mahmud, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud, Datuk Syeikh Yahya Jusoh dan Setiausaha Lembaga Maktab Mahmud, Nasrun Mohd Sheriff.

Katanya, beliau difahamkan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan akan memainkan peranan dalam memastikan sistem pendidikan negeri adalah kompetitif dan selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

“Majlis ini juga akan diberi tanggungjawab menyelia kurikulum sekolah rendah dan menengah, agar ia tidak lagi dipengaruhi unsur politik kepartian atau perkauman sempit,” katanya.

Antara lain, katanya, difahamkan majlis itu juga akan diberi kuasa menentukan mekanisme untuk mempertingkat penguasaan bahasa, misalnya Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah yang bebas daripada tekanan politik.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan wang untuk pelajar kurang berkemampuan kepada pengetua di 12 Maktab Mahmud seluruh Kedah dan waris pelajar kepada 63 pelajar yang menyambung pengajian di Timur Tengah.

Dr Salmee berkata, beliau berharap sumbangan melalui Wang Wakaf Khas Lembaga Maktab Mahmud dapat membantu meringankan beban persediaan awal ke luar negara.

Malah, menurut beliau, sumbangan diberikan sejak 2009 itu juga dilaksanakan demi menghargai usaha gigih pelajar yang berjaya ke peringkat lebih tinggi di Mesir, Jordon dan Maghribi.

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap bantuan wang berkenaan dapat diuruskan dengan cermat, telus dan berintegriti demi memenuhi harapan pewakaf.